Sudah sejam
mereka melarikan diri. Begitu pantas mereka bergerak menyelinap cekap menggunakan
kereta berwarna hitam berbelang perak. Kini mereka berhenti sekejap merehatkan
diri dari melakukan kerja-kerja serong di Kampung Paduna yang terletak
kira-kira lima belas kilometer dari pondok durian yang sedang didiami oleh
mereka sekarang. Pondok durian
berkeluasan lima belas kaki lebar dan tujuh belas kaki panjang ini tidak
berbilik seperti rumah kebiasaan orang. Jauh terperosok masuk ke dalam dusun
durian malah jauh dari laluan manusia memudahkan mereka memasukkinya dengan hentakan di mangga pintu utama. Disangkut sebelah pintu ialah boot berwarna hitam, sebuah mesin rumput
diletakkan menyandar di penjuru sebelah kanan manakala dua bekas makanan yang
tidak berbasuh kelihatan bersarang dengan semut merah di sebelah kanan pintu
menuruni ke bilik air kecil. Di sebelah
kiri pondok ini, mempunyai sebuah tingkap buruk, sedikit lopong kerana dibalun
anai-anai. Tiga insan sedang mengisi
pondok durian itu. Manakala dua lagi berada di bawah mengawasi suasana.
“Bodoh!”
kata-kata kesat dihamburkan dari lelaki berbadan pendek. Seketika kemudian satu
gerakan penampar yang kuat melayang ke pipi si tua, menyebabkan bibir penerimanya berdarah.
Terhoyong hayang badan si tua menerima tamparan sebegitu kuat. Bayi ditangan kanan si tua dirangkul gagah, azamnya
agar bayi tidak terlepas. Dia memaut bayi seerat mungkin. Kain batik yang menyeliputi
bayi itu ditariknya perlahan-lahan dengan berhati-hati bagi menutup wajah bayi
comel itu. Si tua takut darah merah
yang mengalir dari bibirnya terpercik ke wajah comel itu. Terketar-ketar tangannya
menyapu pipinya yang separuh merah. Bibirnya mengalirkan darah pekat dari
hujung bibirnya. Pipinya pedih, bibirnya mengalirkan darah dengan
merekah luka... sedih benar! Dihujung usia sebegini dia sedih diperlakukan
sebegini. Namun ada kepuasan dibibirnya.
Inilah mahar yang perlu dibayar demi indahnya sekuntum senyuman. Tuhan bantulah
bayi ini!
“Aku suruh
engkau tinggalkan bayi ini! Kenapa engkau degil? Kedegilan engkau melambatkan
pergerakan kita. Membahayakan geraklaku
engkau, aku dan kita semua!” Si pendek berpeluh menahan marah. Sebagai ketua,
perbuatan berperikemanusiaan anak buahnya pasti mengundang bahaya. Adanya bayi
ini pasti menyukarkan mereka bersembunyi apabila dikejar polis. Adanya bayi ini, membuatkan pergerakan mereka
sangat-sangat terbatas. Sekarang pun mereka
terpaksa bersembunyi di dalam pondok dusun
durian di sebuah kampung .
“Aku tidak
sampai hati Pa’in. Semasa kita mula
bergerak tadi memang aku mahu meninggalkannya, namun bayi ini telah memberikan
senyuman yang paling manis padaku. Jadi, aku tidak sampai hati meninggalkannya
apatah lagi di dalam rumah itu dia keseorangan!” kata Tok Chan kepada Pa’in ketuanya.
Tok Chan adalah insan tua yang kembara maksiatnya telah merata dengan menghilir
dan menghulu dunia. Dulu dialah ketuanya, namun cedera di lutut kanannya
membuatkan dia beralih mengalah kepada orang yang lebih muda. Kini giliran Pa’in pula memainkan peranan
sebagai ketua. Orang muda yang laju geraknya. Namun Tok Chan dapati sebenarnya Pa’in
dan dua orang kanannya memang tidak boleh dipercayai. Semua misi yang dilakukan
mereka selalunya gagal atau lari dari matlamat sebenar. Bukan sekali, bahkan
beberapa kali. Pernah mereka cuba mahu merompak sebuah kereta yang lalu di
dataran tasik Malakat pada jam lima pagi.
Menahan dengan bengis tanpa menyedari di dalamnya mempunyai empat orang
jurulatih silat negara. Akibatnya mereka ditinggalkan di dalam longkang dengan
nyawa-nyawa ikan.
Tok Chan telah
beberapa kali memberikan amaran, mahu menunjuk ajar, mahu menyamun mesti ada teknik
dan taktiknya namun mereka langsung tidak mahu mengikut kata malah cadangannya. Tok Chan sebenarnya sudah tidak bersemangat
mahu melibatkan diri dengan mereka. Apatah
lagi membabitkan bayi yang tidak berdosa.
Bersama bayi ini, entah kenapa hati Tok Chan begitu lembut. Selembut dan sesenang mendengar laungan
azan. Hatinya tidak akan tergamak
membunuh bayi comel ini. Senyuman bayi
ini, ya Tuhan, menusuk di seluruh jiwa tuanya. Hati, yang selalunya seteguh
waja akhirnya cair meresap ke bumi kasih, mengharum sewangi kasturi melayang
segar menyelubungi bumi hati yang selama ini kering kontang merkah dengan dosa
dan noda.
Tidak!
Tidak sanggup
rasanya membenamkan pisau di leher bayi ini.
Melihat kulit bayi yang lembut, untaian rambut halus cantik di kulit
kepalanya, bibir merah bersih dengan nafas bayi yang mengharum jernih. Oh!
tidak sama sekali. Lihat pula jari kecil ini, jari kecil memegang jari telunjuk
Tok Chan dengan genggaman lembut. Genggaman
yang begitu membahagiakan. Kenapa perlu dibunuh bayi ini? Kenapa perlu dibenamkan pisau ke bayi
berkulit indah ini? Kenapa perlu dilukai
kulit bayi yang putih kemerah-merahan ini!
Berikan sahaja pada orang lain agar ada orang yang akan membelai dan
memberikan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi pada bayi comel ini.
“Wahai Tok Chan
bedebah, aku ingin ingatkan engkau kita
telah berjanji dengan si Danau bahawa tidak akan ada zuriatnya di dunia ini.
Kalau ada zuriatnya, maka harta berjuta akan jatuh pada budak ini dan kita
tidak akan memperolehi sesen pun!” kata Pa’in bersuara keras. Tok Chan hanya mendiamkan diri dengan wajah
sedikit menggelabah. Dia masih memegang
bayi itu dengan kemas.
“Dan kalau dia
tahu masih ada zuriatnya dalam genggaman kita, apa yang akan kita dapat wahai
Tok Chan?” Pa’in mendekatkan hidungnya di hidung Tok Chan. Berbeza benar kulit
muka Pa’in dengan Tok Chan yang sudah berkedut seribu. Mata bertemu mata. Hati masing-masing berbaur antara marah,
takut, kesal dan merancang!
“Pendapatan kita
pasti zero!” mata Pa’in semakin
bersinar merah marah dalam resah. Apa yang harus dilakukannya? Menghapuskan Tok
Chan adalah pilihan terbaiknya. Pa’in kemudiannya berpaling kepada dua orang
kanannya yang sedang lepak di kerusi potongan kayu di hadapan pintu utama dan
memberi isyarat yang memang dikenali oleh
Tok Chan. Bunuh!
Dua orang kanan Pa’in,
Duke dan Beruang menghampirinya. Duke pakar membaling pisau manakala Beruang
mempunyai ketinggian yang cukup menggerunkan sesiapa yang memandangnya. Beruang mempunyai kesempurnaan lelaki perkasa
cuma masalah kakinya yang kecil sebelah melemahkan pergerakannya. Muka mereka
berdua memang menggerunkan. Tok Chan ada
senjata menghadapi keduanya. Bayi di
tangan kanan Tok Chan bertukar tangan ke tangan kirinya.
Duke dan Beruang
semakin menghampiri. Tok Chan sedikit
berundur ke belakang. Sesuatu harus dilakukan.
Otaknya ligat memikirkan cara melepaskan diri.
Geraknya bermula
dengan menolak muka Duke disusuli dengan tendangan sekuat hati di celah kelangkang
Duke. Berdengus suaranya. Mengerang! Duke terduduk dengan memegang sesuatu di celah
kelangkangnya. Kesakitannya mengundang
merah muka yang membara. Dia terjelopok jatuh mengadap lantai. Hanya kepalanya sahaja yang menahan badannya
dari jatuh ke bawah. Beruang yang
melihat sahabat baiknya jatuh mengambil sikap menerpa untuk menyerang sambil
menjerit ganas. Kelihatan Tok Chan bersedia melangkah laju. Dia
kemudiannya meluncur laju ke arah Beruang. Terhentak dengan bahu kiri Tok Chan, melayanglah badan Beruang ke belakang
menghempas badan Pa’in yang bersandar di tepi tingkap. Tingkap pecah. Mereka tercampak keluar dari pondok buruk dan
terhempas di atas tanah. Tok Chan melompat keluar dari pondok buruk itu
dengan harapan mahu melarikan diri sejauh mungkin dari “bekas” rakan kongsinya.
Zapppp! Bunyi sesuatu melayang kemudian melekat di
belakang badannya.
“Aduh!” Tok Chan
terus berlari...
***
Ketukan kuat kedengaran
dari pintu rumahnya. Mula-mula bunyinya
sekali sekala sahaja. Semakin lama semakin kuat bunyinya. Semakin lama semakin kasar hentaknya. Bunyi ini memecah suasana sunyi rumah yang
terpencil di tengah ladang getah di kampung
Budi. Rumah lama bertiang kembar berketinggian enam
kaki dari tanah ini sememangnya sangat mudah
terdedah pada bahaya penyangak
kerana kedudukannya di dalam ladang getah dan jauh dari rumah orang lain. Jiran terdekatnya sejauh satu
kilometer. Tuan punya rumah ini adalah
seorang perantau dari seberang. Dia
menumpang di tanah ini sebagai ganti menjaga ladang getah seluar dua puluh
relung. Air diambil dari sungai
berdekatan. Penglihatan mereka sekeluarga hanya bergantung pada pelita minyak
tanah. Memang susah benar kehidupan mereka.
Hanya mempunyai seorang anak lelaki tunggal. Malam itu sang suami tidak berada di rumah
kerana memenuhi undangan kembali ke tanah seberang urusan perkahwinan adiknya
dengan orang Mandeleng. Tinggal isteri, anak lelaki dan menantunya yang baru
melahirkan anak.
“Siapa itu?”
kedengaran suara halus bertanya.
Orang di luar
terus terusan membisu namun tangannya terus terusan mengetuk pintu. Kadangkala
perlahan kadangkala kasar bunyinya.
“Aku!” garau
suara orang itu memperkenalkan diri.
Seolah-olah membisik, suara itu sepertinya sedang berada dalam kesakitan yang
amat sangat
“Siapa?”
“Aku, buka pintu ini cepat.” Suara bayi menangis kedengaran dengan jelas dari luar. Si ibu melangkah perlahan menghampiri pintu rumah. Dia ragu-ragu dengan suara yang diberikan. Setahunya tidak ada orang kampungnya yang melahirkan anak dalam tempuh dua tiga bulan ini. Jangan-jangan hantu...Isy mana mungkin ada hantu kerana sepanjang dia menetap di sini tidak pernah mendengar hantu mengganggu kampung ini. Ini suara manusia. Suara lelaki.
“Terangkan dulu siapa!” Diri memerlukan penjelasan. Perlu yakin demi keselamatan dan maruah!
“Nanti aku terangkan! Buka pintu ini,” suara sedikit dikuatkan, sedikit ditekankan nadanya. Menderu rasa takutkan rakannya yang mungkin mengikutnya dari pondok buruk tadi.
“Aku tidak akan membuka pintu ini melainkan engkau beritahu dulu siapa engkau?” wanita separuh usia ini bertegas cuba berani-beranikan diri.
“Bodoh! Engkau langsung tidak memberikan aku peluang!”
Dumm! Pintu terbuka dengan sekali tendangan. Terkejut isi rumah. Seorang perempuan separuh umur hampir terlentang dengan kejutan pecahnya pintu rumah. Dia melompat ke belakang dengan pantas sekali. Tok Chan terkejut dengan lompatan ke belakang itu. Perempuan ini...?
Seorang budak lelaki yang turut berada di situ tergamam memandang perbuatan tanpa undangan ini. Di penjuru ruang tamu terdapat seorang perempuan muda yang baru melahirkan anak menangis memeluk bayinya. Bayinya dipeluk dengan erat. Manakah tidak, kehadiran seorang lelaki separuh usia dengan muka bengis memang pasti akan mengejutkan sesiapa sahaja.
“Ini, aku serahkan bayi!“garau suara Tok Chan garang!
Semua tergamam benar. Badannya tercungap-cungap. Perempuan yang melompat tadi membuka kuda-kuda seolah-olah bersedia menyerang. Tok Chan perasan langkah itu. Memang langkah itu tidak sumbang. Ini kuntau tanah seberang! Kuntau yang pernah dipelajarinya tiga puluh tahun yang lalu.
“Dia anak orang besar-besar... Ayah dan ibunya telah dibunuh dengan kejam! Warisan ini penting bagi menahan penjahat itu dari menguasai harta!” suaranya sedikit lembut.
Bayi comel itu dipeluk dan diciumnya berkali-kali. Lantas diletakkannya bayi yang berumur dua bulan itu ke atas lantai rumah dan dia cuba menghilangkan diri melalui pintu yang dipecahkannya tadi.
Dia berpaling ke arah pintu, seketika kemudian dia berpaling sambil mengeluarkan sehelai surat dari dalam poket seluarnya.
“Dan namanya berada di dalam kertas ini! Dalam surat beranak ini! Aku mahu tahu siapa nama engkau wahai perempuan?” Tok chan bertanya dengan mata bersinar memandang tepat ke arah wanita itu. Anak lelaki perempuan itu hanya berdiri terkejut dengan kedatangan insan yang tidak di duga ini di rumah mereka.
“Aku Timah!”
“Timah, aku amanahkan engkau dengan budak ini...” Tok Chan berucap dengan badannya mula bergoyang ke kanan dan ke kiri.
Bummm... Tok Chan jatuh pengsan. Tersembam dengan mukanya mengadap ke bumi. Tangannya selari dengan badannya. Darah keluar dari badan lelaki itu dan mengalir membasahi tikar mengkuang berwarna kuning pucat. Perempuan yang baru melahirkan anak menjerit ketakutan begitu juga dengan suaminya.
“Zuki! Cepat, kita perlu meminta pertolongan Haji Lazim membawa orang ini ke hospital!” Tok Timah memberi arahan. Zuki anaknya yang berumur dua puluh lima tahun melompat turun ke tanah dan berlari ke rumah Haji Lazim ketua kampung untuk meminta pertolongan. Tok Timah seorang bidan kampung mengambil kain batik di dalam bergerak ke arah badan Tok Chan, dia mencabut pisau dari belakang badan Tok Chan, kemudiannya menekap luka dengan kain batiknya. Si bayi hanya memegang dan bermain-main kain batik lepas yang membaluti dirinya. Matanya membulat , celiknya melihat dunia penuh kisah suka dan duka dunia.
Batik bukan
sebarang batik,
Batik datang
dari seberang ,
Celik bukan
sebarang celik,
Celik mencanang
permata gemilang...
No comments:
Post a Comment